Monday, 11 June 2007

BEKALAN TAQWA

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 29: “Wahai orang–orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu al-furqan dan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosamu). Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.”

Bila kita renungkan ayat di atas, kita dapati bahawa taqwa merupakan bekalan utama bagi seorang mukmin. Ketaqwaan adalah kebajikan dan cahaya. Yang dengannya ia dapat memberikan sinar cahaya untuk membezakan mana yang haq dan mana yang bathil. Bila demikian halnya maka ia dapat mengikuti jalan petunjuk dengan mudah tanpa hambatan dan tersesat sedikit pun.

Asy-Sayyid Qutb menjelaskan maksud Ayat 29 Surah Al-Anfal dengan menyatakan, “Inilah bekalan tersebut. Inilah bekalan dalam mengharungi perjalanan yang panjang. Iaitu bekal taqwa yang menghidupkan hati dan membangunkannya. Bekalan cahaya yang memberi petunjuk bagi hati untuk menyuluh sudut-sudut jalan sepanjang penglihatan manusia. Cahaya ini tidak boleh ditipu oleh syubahat-syubahat yang mata biasa tidak mampu menembusnya. Itulah bekalan keampunan bagi segala dosa. Bekalan yang memberikan ketenteraman, kesejukan, dan kemantapan. Sesungguhnya taqwa kepada Allah itu menjadikan nilai furqan dalam hati. Ia boleh membuka jalan-jalan yang bengkok.

Sesungguhnya al-Haq itu tidak menutup fitrah, tetapi hawa nafsulah yang menolak al-Haq dan fitrah. Hawa nafsu itulah yang menyebarluaskan kezaliman, menghalang-halangi penglihatan dan membutakan jalan-jalan kebenaran, serta merahsiakan petunjuk. Hawa nafsu itu tidak boleh dihalang oleh hanya dorongan dan dokongan hujjah. Akan tetapi ia hanya mampu digerakkan dan ditopang oleh taqwa, rasa takut kepada Allah, dan muraqabah (pengawasan) Allah di saat sepi mahupun di khalayak ramai. Dengan sendirinya furqan itulah yang menyinari hati, menghilangkan kerancuan, dan menyuluh jalan-jalan kebenaran.

Taqwa adalah hasil yang pasti. Ia adalah buah nyata dari perasaan yang mempunyai keimanan yang dalam. Keimanan ini bersambung dengan muraqabah Allah, takut kepada-Nya, dan takut akan marah dan siksaan-Nya. Dan sentiasa memohon ampunan-Nya dan pahala dari Allah.

Takwa itu , sebagaimana dikatakan oleh ulama - adalah: “Menjauhi (takut) azab Allah dengan mengerjakan amalan yang soleh dan takut kepada-Nya di saat sepi dan di khalayak ramai.”

Berdasarkan dari sinilah Al-Qur’an sangat memperhatikan kepentingan takwa. Hal ini boleh dilihat dalam berbagai ayat-ayat dengan jelas dan nyata. Sehingga hampir-hampir orang yang membaca Al-Qur’an belum sampai membaca satu halaman atau baru membaca beberapa ayat melainkan di situ ia mendapati kata taqwa. Dari sinilah para sahabat dan salafus soleh sangat serius memperhatikan taqwa. Mereka benar-benar telah mengaplikasikannya dalam kehidupan nyata. Mereka bersungguh-sungguh ingin mencapai darjat taqwa dan meminta sifat taqwa kepada Allah swt.

Sayyid Qutb menjelaskan dalam tafsirnya Fii Zhilalil Qur’an’, “Itulah taqwa, (iaitu) hati yang sensitif, perasaan yang jernih, ketakutan yang terus menerus (kepada Allah), kewaspadaan yang tidak henti-hentinya dan menjauhi duri-duri jalan, iaitu jalan kehidupan yang sentiasa diliputi pengharapan yang tak bermakna dan syahwat, duri-duri ketamakan dan kehendak, duri-duri ketakutan dan kecemasan, duri-duri takut terhadap sesuatu yang tidak mempunyai manfaat mahupun mudzarat, dan berpuluh-puluh duri-duri yang lain.”

No comments: