Thursday, 29 March 2007

KHILAF JAMAAH..

Saya membesar dalam keadaan yang menjadikan saya menjauhi Khilaf, tidak sukakan perpecahan dan bencikan pertelingkahan. Saya telah belajar dan dididik pada mulanya di kampung saya di tangan Syeikh saya, seorang ulama yang mantap iaitu Fadhilah al-Syeikh Abdul Razaq Afifi.

Sewaktu saya belum melewati usia sepuluh tahun, Syeikh telah mengajar kami untuk menghimpunkan manusia dan tidak memecah-belahkan serta menyatukan bukannya mengoyakkan. Hendaklah mendekatkan semampu yang boleh sewaktu berlakunya khilaf tanpa menjejaskan usul aqidah dan perkara yang diketahui secara dzarurat daripada agama.

Pernah berlaku pertemuan mereka yang mempunyai haluan Islam iaitu Jamaah Anshor al-Sunnah al-Muhammadiyah, al-Jam'iyyah al-Syar'ieyah dan al-Ikhwan al-Muslimun. Semuanya menyertai aktiviti sesama mereka. Setiap mereka mengambil faedah daripada kelebihan yang lain. Mereka mengambil aqidah daripada jamaah Anshor al-Sunnah, perlakuan berdasarkan Sunnah dan gambaran Islam daripada al-Jam'iyyah al-Syar'ieyah dan mengambil tentang kesyumulan Islam dan pemikiran tamadunnya daripada al-Ikhwan
al-Muslimun. Oleh itu saya - sehingga kini - terus menyumbangkan wang untuk membantu jamaah-jamaah ini, saling membantu mereka dan saya juga dijemput untuk menyampaikan ceramah untuk mereka.

Saya masih ingat sikap-sikap Syeikh kami dalam hal ini di antaranya:

Pertama:
Beliau telah membentuk dari kalangan anak-anak yang masih kecil - saya salah seorang daripada mereka - menjadi satu kumpulan yang kami kongsi kutipan wang padanya untuk membentuk sebuah perpustakaan sebagai tempat membaca. Beliau dokonginya - semoga Allah membalas kebaikan beliau - dengan pemberian beliau. Beliau memilih untuk kami apa yang beliau sukai dan pilih daripada buku-buku aqidah, risalah-risalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan muridnya Ibn al-Qayyim, al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab, buku-buku Sunnah dan risalah-risalah al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna.

Kedua:
Seseorang telah bertanyakan beliau dalam satu majlis tentang pandangannya terhadap perkumpulan besar yang dizahirkan oleh hasil aktiviti al-Ikhwan al-Muslimun dan sambutan para pemuda terhadap dakwah mereka. Soalan itu ditujukan dalam bentuk yang menyakitkan hati, mengajak kepada kebencian dan dikiaskan dengan cemuhan. Lantas Syeikh kami menjawab dengan kata-katanya:"Wahai anakku, sesungguhnya saya berasa takjub melihat berkumpulnya burung pada satu bangkai yang busuk, maka bagaimakah ketakjuban kita melihat berkumpulnya manusia pada Islam?"

Ketiga:
Kami pernah bermusafir dari kampung Syansur menuju ke Kaherah. Bersama kami ada beberapa orang pemuda. Kami menuju ke pejabat Anshor al-Sunnah di 'Abidin. Kami mendapati Fadhilah al-Syeikh Hamid al-Fiqi - Ketua Jemaah Anshor al-Sunnah pada waktu itu - sedang menyampaikan ceramahnya. Kami duduk mendengar kepadanya. Beliau menghamburkan serangan keras terhadap al-Ustaz Hasan al-Banna, Mursyidul 'Am al-Ikhwan al-Muslimun kerana beliau tidak mementingkan aqidah. Golongan pemuda membenci serangan yang mereka tidak biasa mereka dengar ini dan mereka duduk dalam majlis itu seolah-olah mereka sedang duduk di atas bara api. Apabila ceramah itu selesai, kami bangun dan bersalam dengan Syeikh Hamid dalam keadaan berdiri. Fadhilah al-Syeikh Abdul Razaq berkata kepada al-Syeikh Hamid:

"Sesungguhnya manusia sedang menjauhi Islam sejauh-jauhnya. Biarkanlah Hasan al-Banna dengan dakwah umumnya kepada mereka sehingga dia dapat mengarahkan mereka kepada Islam. Apabila mereka telah menuju kepada Islam maka bolehlah kamu mengajar aqidah dan syariah kepada mereka mengikut kehendak kamu."

Lantas perasaan para pemuda tenang dengan kata-kata ini.

Sekiranya jemaah-jemaah Islam ini bertemu pada satu matlamat iaitu berhukumkan syariat Islam dalam seluruh sudut kehidupan, sesungguhnya permusuhan yang wujud antara mereka dan antara mereka yang ada dalam satu jemaah akan menghabiskan tenaga mereka dalam pertentangan dalaman dan menghalang tercapainya matlamat bersama. Inilah penyakit kronik yang memecahkan kekuatan Islam dan menghalang terlaksananya syariah yang mulia.

HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN SYARIAH ISLAM
Prof. Manna' Khalil al-Qaththan
Maktabah al-Qardhawi 1998

No comments: