Saturday, 24 March 2007

Ulul Albab: Kebenaran hadis dalam senario Iraq moden

Dari http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Agama/20070324231826/Article/

Oleh Abdulrrahman Haqq

Kejatuhan Baghdad 772 tahun lalu berulang akibat kerakusan kejar keduniaan.

MINGGU lalu ialah tahun keempat pencerobohan pimpinan Amerika Syarikat (Amerika) ke atas tanah dan negara Islam, Iraq. Minggu itu juga ialah tahun keempat di mana umat manusia sejagat sudah kehilangan akal sama ada disebabkan kerana takut, tidak kisah, tiada kuasa atau sebab lain dalam menghadapi kerenah pentadbiran Amerika yang dipercayai oleh rakyatnya sekarang sebagai perbuatan gila.

Minggu sama ialah tahun keempat di mana sejarah Islam berulang kembali kekelamannya di hadapan mata kita sendiri, bukan dalam buku, kitab atau cerita dan dongeng. Sehubungan itu, penulis ingin mengambil perhatian pembaca kepada dua berita berikut:

Pertama: "Hampir tiba suatu masa pelbagai bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi Muhammad SAW menjawab, "(Tidak) bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Kedua: Selepas empat tahun pencerobohan pimpinan Amerika Syarikat ke atas Iraq masih ada sekitar 155,000 tentera di negara itu dengan Amerika membabitkan seramai 141,000 tentera dan 23,900 tentera tambahan sehingga bulan ini seperti dimohon Presiden Amerika, George W Bush pada Januari lalu. Britain pula membabitkan 7,100 tentera; Korea Selatan (2,300); Australia (1,400); Poland (900); Georgia (869) bahkan akan bertambah kepada 2,000 tentera; Romania (605), Denmark (460); El Salvador (380); Bulgaria (155); Azerbaijan (150); Albania (120); Latvia (120); Mongolia (100); Republik Czech (97); Lithuania (50); Armenia (46); Estonia (40); Macedonia (40); Bosnia-Herzegovina (36); dan Kazakhstan (29).

Ada 18 negara lain yang ikut menceroboh pada 2003 tetapi menarik balik tenteranya. Negara terbabit ialah Nicaragua, Sepanyol, Dominika, Honduras, Filipina; Thailand, New Zealand, Tonga, Portugal, Belanda, Hungary, Singapura, Norway, Ukraine, Jepun, Itali, Slovakia dan Moldova.

Adakah persamaan di antara kedua-dua berita di atas setelah kita mengetahui bahawa berita pertama diriwayatkan Imam Abu Daud 1,000 tahun lalu manakala berita kedua dilaporkan oleh agensi berita Perancis, AFP Isnin lalu. Gambaran yang jelas dan nyata daripada kedua-dua berita itu ialah ada satu kelompok manusia yang dijadikan makanan dan ada sekelompok manusia yang mengerumuni untuk memakannya.

Sebab terjadinya tidak disebutkan dalam berita kedua, tetapi disebutkan dengan jelas dalam berita pertama. Kedua-dua berita ini ada hubung kait yang mana salah satunya adalah satu gambaran masa hadapan dan yang lainnya adalah satu bukti kebenarannya. Yang satu adalah wahyu dan yang lainnya adalah suatu bukti kebenarannya. Iraq (baca: umat Islam) dijadikan makanan oleh sekumpulan kelompok manusia 39 negara dunia moden pimpinan Amerika yang pada kenyataannya bukan negara Islam. Mereka adalah penceroboh tetapi mereka bangga dan tidak berasa gerun terhadap umat Islam, bahkan memperkecilkan mereka.

Umat Islam adalah kelompok yang kalah sehingga mereka dijadikan makanan yang dihidangkan untuk dicabik, dikoyak, dicampuradukkan dan dipisahkan oleh penyantap hidangan. Mereka seperti disebutkan dengan jelas juga oleh hadis, terkena jangkitan penyakit wahan yakni cinta pada dunia dan takut pada mati.Penyakit wahan yang menjadi penyebab utama kekalahan dalam setiap perjuangan menimpa umat sebelum Islam bahkan ia dijadikan sunnatullah oleh Yang Maha Kuasa.

Dalam sebuah hadis, baginda bersabda maksudnya: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab "Penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi." – (Hadis riwayat al-Hakim)

Penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW ini telah banyak kita lihat di kalangan muslimin hari ini. Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah.Pada saat itu, hilanglah nilai akhlak dan yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasut-menghasut dan sebagainya.

Apa yang menimpa Iraq hari ini adalah sama dengan apa yang menimpanya 772 tahun lalu. Pada 656H, Baghdad jatuh ke tangan penceroboh Hulagu dari Mongol, cucu Genghis Khan. Ibnu Katsir menulis, “Saya memasuki kota Baghdad pada 656H. Pada tahun itu saya melihat bala tentera Tatar telah mengepung kota Baghdad...kemudian pasukan Tatar mengepung istana khalifah lalu menghujani dengan anak panah dari setiap penjuru sehingga akhirnya mengenai seorang sahaya wanita yang sedang bermain dengan khalifah.Sahaya yang bernama Arfah itu termasuk salah seorang gundik khalifah. Ketika anak panah itu mengenainya dia sedang menari di hadapan khalifah. Khalifah pun terkejut dan ketakutan. – (al-Bidayah wal-Nihayah, 13/200)

Dari segi sebab, strategi, metod dan akibatnya adalah lebih kurang sama hanya pelaku, alat dan masa yang berbeza. Pada masa pencerobohan itu 1.8 juta orang terbunuh seperti dilaporkan Ibn Katsir. Bandingkan dengan jumlah 655,000 rakyat Iraq yang terbunuh hingga Oktober tahun lalu selepas tiga tahun lebih pencerobohan seperti dilaporkan AFP Isnin lalu.

Di antara sebab kejatuhan Baghdad dulu adalah jatuhnya Turkestan dan peristiwa Utrar; jatuhnya Khurasan; hedonisme khalifah, memburu harta, meminum minuman keras dan seks; kekikiran khalifah; perselisihan dan pertempuran antara penganut mazhab; dan ketidakserasian antara khalifah, wazir dan jeneral Turki.

Di antara sebab kejatuhan Baghdad hari ini adalah jatuhnya kota besar Iraq bermula dari selatan, Basra hingga utara, Kurdistan; hedonisme pemimpin Parti Baath yang memerintah Iraq pimpinan Saddam Hussein; perselisihan mazhab yang membakar dan ketidakserasian jentera kerajaan sehingga diakui seorang jeneral Iraq. Kementerian Pertahanan yang seharusnya memegang peranan dalam peperangan itu tidak dibenarkan untuk berbuat demikian malah diserahkan kepada Pengawal Republik pimpinan anak Saddam, Qusai yang tidak berpengalaman dalam strategik peperangan.

Dalam kejatuhan Baghdad pertama, nampak sangat jelas perpecahan serius di antara umat Islam yang berbilang bangsa ketika itu di mana ia mengundang kelemahan yang membunuh kerajaan Abbasiyah. Namun, kemunculan Hulagu ke Baghdad itu adalah peristiwa yang paling bersejarah. Pada zaman Bani Buwaih, mazhab Khilafah Abbasiyah adalah Syiah. Selepas berpindah kepada Seljuk, mazhab kerajaan kembali kepada Sunni. Akan tetapi, khalifah pada akhir era kerajaan Abbasiyah masih terus percaya kepada tokoh Syiah seperti Mu'ayyid ad-Deen bin al-Alqami. Atas perbalahan yang berlaku di antara Sunni dan Syiah, Mu'ayyid telah menjemput Hulagu mengisi cita-citanya menawan Baghdad. Beliau yang sepatutnya menjalankan tugas mewakili khalifah untuk berbincang dengan Hulagu berpaling tadah dan membuka laluan kepada Hulagu menyerang Baghdad hingga ke akar umbi pada 656H. Suatu kejadian hitam di dalam sejarah kemanusiaan.

Senario Iraq moden termasuk di dalamnya minyak bukanlah senario Iraq dan Barat pimpinan Amerika saja tetapi ia sebenarnya senario kebenaran dan kebatilan, Islam dan jahiliah. Ini telah diterangkan Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: “Tidak terjadi hari kiamat kecuali Sungai Euphrates menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutnya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terbabit berkata, "mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu". Di dalam riwayat lain ada disebutkan; "Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Euphrates akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu". (Muttafaq alaihi)

Kebenaran hadis inilah yang sedang kita lihat di Iraq sama ada kita imani atau tidak dan sama ada orang Barat percaya atau tidak kepada hadis sebagai sumber ajaran Islam.

Oleh itu, penyelesaian yang mesti diambil adalah penyelesaian Islam menyeluruh bukan separuh-separuh. Bukanlah tugas Islam untuk berkompromi dengan konsep dan realiti jahiliah yang sedang mempengaruhi dunia sekarang. Bukan ini yang menjadi tugasnya ketika konsep ini mula lahir, dan bukan itu juga tugasnya sekarang ini dan masa akan datang kerana jahiliah itu ialah jahiliah. Ia bererti penyelewengan dan pemesongan daripada ubudiah kepada Allah semata-mata, juga penyelewengan daripada peraturan Ilahi mengenai kehidupan. Jahiliah itu juga bererti menimba dan mencedok segala panduan hidup yang berbentuk peraturan dan undang-undang, adat resam dan nilai-nilai, daripada sumber yang bukan sumber Ilahi, sedangkan Islam itu tetap Islam;

Tugas pokoknya ialah memindahkan umat manusia keluar daripada jahiliah kepada Islam

No comments: