Monday, 14 May 2007

HAKIKAT KEHIDUPAN


Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali, bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-duanya sekali bukannya dunia ini sahaja.


Dan kewujudan manusia adalah bersinambungan di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja.


Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa, sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’.

“Hanya kepada Allah jua sujudnya sekalian penghuni langit dan bumi sama ada dengan sukarela atau terpaksa dan bayang bayang mereka (juga turut sujud) di waktu pagi dan petang.” (Surah ar-Ra’d 15.)

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah dan tiada suatu kejadian pun melainkan seluruhnya bertasbih memuji Allah.” (Surah al-Isra’ 44)

Manakah kerehatan, keselesaan, kemesraan dan kepercayaan (yang lebih besar) dari kerehatan, keselesaan kemesraan dan kepercayaan, yang dicurahkan ke dalam hati kita oleh kefahaman yang syumul, sempurna, luas dan betul ini?

AsSyahid Sayyid Qutb

No comments: