Monday, 28 May 2007

POTRET SEORANG MUKMIN

Seorang Mukmin melalui fasa-fasa perjalanan hidupnya dengan mencurahkan perhatian dalam setiap fasa yang dilaluinya, melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan seluruh laranganNya. Cita-citanya tercurah untuk melaksanakan amal soleh dan menjauhi amal-amal yang buruk.

Sesaat setelah bangun tidur pada setiap pagi, hatinya langsung menggerakkannya mengambil wudhu’ dan mendirikan solat tahajjud. Setelah itu ia terus ke masjid untuk solat subuh. Selesai solat, ia langsung membaca Al Quran dan berzikir hingga matahari terbit. Sesaat setelah matahari naik sepenggalah, ia mendirikan solat dhuha. Setelah itu dia bekerja dan berusaha penuh ketekunan dan ikhlas semata kerana Allah.

Apabila tiba waktu zohor, dia segera bersuci dan pergi ke masjid agar berada di saf pertama. Dia solat bersama imam dengan menyempurnakan segala syarat, rukun, sunat-sunatnya dan meperhatikan amal batinnya, seperti khusyu’, pasrah dan berserah diri kepada Allah. Selesai solat, di dalam hatinya terpancar pengaruh yang terlihat di wajah, lidah dan semua anggota tubuhnya. Dia boleh memetik hasilnya di dalam hati, berupa ketenangan untuk menuju tempat tinggal yang abadi dan berlepas diri dari tempat yang penuh tipu daya.

Cita-citanya terhadap dunia yang tidak menggebu-gebu, telah mencegahnya untuk berhubung erat dengan pelbagai kelalaian, kekejian dan kemungkaran. Dia lebih suka bertemu Allah dan menghindari segala sesuatu yang memutuskan hubungannya dengan Allah. Dia seperti orang yang gelisah dan sedih hingga tiba waktu solat. Jika tiba waktu solat, dia pun bangkit untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan serta kehidupan hatinya. Tiada ketenangan dalam hatinya melebihi ketika solat.

Di samping kewajiban-kewajiban fardhu yang dia kerjakan, dia juga tidak melalaikan amalan-amalan sunat seboleh mungkin. Dia mengambil wudhu’ dengan sempurna, solat pada awal waktu, berada dalam saff pertama dalam solat jamaah di samping kanan imam atau tepat di belakangnya, beristighfar tiga kali selepas solat dan berzikir, dengan membaca umpamanya:
“ Ya Allah, Engkaulah yang memiliki kesejahteraan dan dariMu datangnya kesejahteraan itu. Curahkanlah barakahMu wahai Zat yang memiliki keagongan dan kemuliaan.” [Ditakhrij Muslim]

“Tiada Ilah selain Allah semata, yang tiada sekutu bagiNya. KepunyaanNyalah kerajaan dan segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tidak ada yang mampu menghalangi terhadap apa yang Engkau berikan, dan tidak ada apa yang mampu memberi terhadap apa yang Engkau tahan dan orang yang memiliki kekayaan tidak mampu memberi manfaat, kerana dariMulah kekayaan itu. Tiada Ilah selain Allah. Kita tidak menyembah kecuali kepadaNya. KepunyaanNyalah kenikmatan dan anugerah, serta bagiNya pujian yang baik. Tiada Ilah selain Allah, ketaatan dimurnikan kepadaNya, meskipun orang-orang kafir tidak suka.” [Diriwayatkan Muslim]

Kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertakbir sembilan puluh sembilan kali, lalu digenapkan menjadi seratus kali dengan lafaz;
“Tiada Ilah selain Allah, yang tiada sekutu bagiNya. KepunyaanNyalah kerajaan dan segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu.” [Diriwayatkan Muslim]

Jika dia merasa masih belum mencukupi, maka dia akan membaca Ayatul Kursi dan Mu’awwidzatain.

Dia juga mendirikan solat sunat dengan sebaik-baiknya, sebelum atau sesudah solat fardhu. Begitulah dia amalkan setiap kali mengrjakan solat fardhu.

Sebelum matahari terbenam, dia tidak lupa membacakan zikir untuk waktu petang seperti yang disebutkan dalam Hadith Nabawi, seperti yang dia amalkan apabila pagi menjelang, dengan zikir untuk waktu pagi.

Jika malam tiba, dia berada di rumah untuk menikmati anugerah yang telah dilimpahkan kepada hamba-hambaNya. Apabila beranjak ketempat tidur, dia mengucapkan lafaz-lafaz zikir menjelang tidur, seperti yang disebutkan di dalam Sunnah, yang jumlahnya sekitar empat puluh jenis. Dia membaca zikir-zikir yang diketahui dan dihafaznya, seperti membaca Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Naas tiga kali, kemudian mengusap wajah dan tubuhnya tiga kali, membaca Ayatul Kursi, membaca akhir Surah Al Baqarah, bertasbih tiga puluh tiga kali, bertahmid tiga puluh tiga kali dan bertakbir tiga puluh tiga kali. Setelah itu dia mengucapkan;

“Ya Allah, kuserahkan diriku kepadaMu, kuhadapkan wajahku kepadaMu, kupercayakan segala urusan kepadaMu, kusandarkan belakangku kepadaMu dengan penuh harap dan cemas kepadaMu. Kerana tiada tempat berlindung dan tempat keselamatan dari azabMu kecuali kepadaMu. Aku percaya kepada kitabMu yang telah Engkau turunkan, percaya kepada NabiMu yang telah Engkau utuskan.” [Riwayat Al-Bukhari]

“Dengan NamaMu wahai Rabbku, aku meletakkan belakang tubuhku, dan dengan namaMu jua aku mengangkatnya. Jika Engkau memegang jiwaku maka ampunila ia dan jika Engkau melepaskannya maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga hamba-hambaMu yang soleh.” [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

“Ya Allah, Rabb langit yang tujuh dan Rabb ‘Arsy yang Agung. Engkau Rabbku dan Rabb segala sesuatu, yang menumbuhkan benih dan biji-bijian, yang menurunkan Taurat, Injil dan Al Furqan (Al Quran). Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan segala binatang melata. Engkaulah yang awal dan tiada sesuatupu sebelumMu. Engkau yang akhir dan tiada sesuatu sesudahMu. Bebaskanlah aku dari hutang dan cukupkanlah aku dari kefakiran.” [Riwayat Muslim]

Dia terus berzikir kepada Allah sehingga ia tertidur dalam keadaan berzikir kepadaNya. Dengan itu, tidurnya adalah ibadah dan menjadi tambahan dalam mendekatkan diri kepadaNya.

Setelah bangun dari tidur, dia kembali seperti kebiasaannya yang tadi.

Disamping itu, dia juga melaksanakan hak-hak manusia, seperti menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan, memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Dia juga memenuhi hak-hak keluarga dan kerabatnya. Dia melaksanakan Amar makruf Nahi Munkar dengan penuh hikmah. Dia berjihad di jalanNya yang lurus. Dia bekerja dengan penuh ketekunan dan ikhlas. Dia penuhi seluruh masanya dengan segala sesuatu yang bermanfaat.

Dia melaksanakan ubudiyah sepertimana diperintahkan Allah. Jika ada tindakan yang berlebihan maka dia segera mencari sebab-sebabnya, bertaubat dan beristighfar, lalu menggantikannya dengan amal soleh untuk menghilangkan kesannya. Itulah tugas pokoknya setiap hari dan ia terus menerus mengamalkannya sehingga dipanggil pulang mengadap TuhanNya.

No comments: