3. Mengingati akhirat
Asbab seterusnya yang menyebabkan mudahnya hati itu menjadi lembut ialah mengingati akhirat, iaitu seorang hamba mengingati bahawa ia pasti akan kembali kepada Allah SWT. Ia mengingati bahawa pada setiap permulaan itu pasti ada akhirnya. Sesungguhnya apa yang ada selepas dunia ini adalah kehidupan, samada kehidupan itu di Syurga ataupun di neraka.
Sekiranya seseorang insan itu telah merasai hakikat kenyataan ini,maka sesungguhnya kehidupan ini adalah sesuatu yang cukup kerdil. Setiap kenikmatan yang ada akan binasa. Ia akan merasakan bahawa kehidupan dunia tiada apa yang istimewa padanya. Dia kini menuju kepada Tuhannya, dengan pergantungan yang sebenar-benarnya. Ketika itulah hati itu menjadi lembut.
Oleh yang demikian, apabila sesiapa melihat kubur dan melihat keadaan ahlinya maka akan tertunduklah hatinya. Hatinya akan menjadi hati yang paling bersih. Jauh daripada menjadi keras dan daripada ghurur (terpedaya).
Oleh itu kamu akan mendapati seseorang insan yang melazimkan dirinya menziarahi kubur, berfikir dan merenung serta tadabbur maka akan terbayang padanya kepada ibubapanya dan kaum keluarganya, saudara lelaki dan perempuannya, para sahabat dan yang dikasihinya, saudara seperjuangan dan rakan-rakan yang lain bahawa tempat kembali mereka adalah di dalam kubur. Dia merasakan bahawa seketika lagi ia pasti akan mengikuti mereka. Mereka merupakan jiran antara satu sama lain tetapi telahpun terputus daripada mereka peluang ziarah menziarahi, walaupun kubur mereka berdekatan.
Sekiranya seseorang hamba itu mengingati tempat kembalinya sebagaimana disuruh oleh Rasulullah saw maka hati itu akan menjadi lembut. Apabila seseorang hamba telah berdiri di jurang perkuburan, bilamana ia melihat kubur itu di gali maka jiwanya akan berkata: ‘kalaulah manusia yang disemadikan itu adalah aku’. Apabila ia berdiri di tepi liang tersebut dan dia melihat manusia diletakkan didalamnya maka dia bertanya kepada dirinya, ‘apakah aku akan disemadikan sebagai manusia yang mentaati Allah SWT ataupun sebagai orang yang memaksiati Allah SWT? Adakah pengakhiranku di syurga atau dalam neraka?’
Sesungguhnya Dialah Allah Yang Maha mengetahui tentang keadaan mereka. Dialah Hakim Yang Maha Adil yang akan menentukan hukum keatas hambaNya. Tidaklah seseorang hamba yang memahami perkara ini dan terngiang-ngiang di dalam jiwanya renungan ini melainkan akan bergegarlah hatinya kerana takutkan Allah. Akan lembutlah hatinya. Dengan itu ia akan menuju kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan penyerahan yang jitu.
Monday, 14 May 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment