Tuesday, 1 May 2007

HATI YANG LEMBUT (4)


Sesungguhnya di sana ada asbab yang menjadikan hati itu menjadi lembut dan ada asbab yang menyebabkan hati itu keras. Allah SWT telah memberi petunjuk tentang hal ini di dalam KitabNya yang suci.

1. Iman kepada Allah

Tidaklah hati itu menjadi lembut, kecuali dengan sebab yang paling besar iaitu dengan Keimanan kepada Allah SWT. Apabila seseorang hamba itu telah mengenali Tuhannya dengan nama-nama serta sifat yang layak bagiNya, maka hati itu akan menjadi lembut di sisiNya. Dia akan patuh ketika berhadapan dengan hukum Allah SWT. Ketika datang kepadanya ayat-ayat dari kitabullah dan apabila datang kepadanya hadith dari Rasulullah SAW, ia akan mengatakan ‘Kami dengar dan kami patuh, sesungguhnya kami amat mengharapkan keampunanMu, wahai Tuhan kami. Maha Suci Engkau dan kepadaMulah kami akan kembali’.

Apabila seorang hamba itu mengenali Allah SWT dengan segenap namaNyayang baik, dengan sifatNya yang hebat, yang pad tanganNya segenap perbendaharan – kamu akan melihatnya berlumba-lumba kepada kebaikan. Dia merupakan seoang di kalangan manusia yang benar-benar memusuhi jahiliyah.

Maka sebesar-besar sebab yang menyebabkan hati itu lembut kepada Allah SWT dan tunduk dengan kehebatanNya ialah Ma’rifatullah. Apabila hamba itu mengenali Tuhannya dan mengetahui bahawa tiada benda pun di alam ini kecuali semuanya berzikir kepada Allah SWT maka ia akan mengingati Tuhannya pada ketika pagi dan petang. Dia akan mengingati Tuhannya yang Agong, dia akan mengingati nikmat dan rahmat, yang datangnya daripada Al-Halim dan Al-Karim. Dia mengingati tentang kebaikan dan keburukan dan yang mana semua urusannya terletak pada Allah SWT. Maka sesiapa yang mengenali Allah SWT akan lembutlah hatinya kerana takut kepada Allah SWT. Begilah juga sebaliknya.

Apabila kamu mendapati hati yang keras maka kamu akan mendapati bahawa hamba itu adalah sejahil-jahil hamba terhadap Tuhannya. Ia amat jauh daripada merasai kehebatan Allah SWT dan merasai azab Allah SWT yang pedih. Ia merupakan orang yang paling jahil terhadap nikmat Allah SWT dan kasih sayangNya hinggakan kamu akan melihat sebahagian dari manusia yang berhati keras itu mudah berputus asa dari rahmat Tuhannya dan paling jauh denganNya.

Apabila manusia tidak mengenali Tuhannya, dia akan rasa angkuh dengan batasan yang Allah gariskan. Angkuh dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Dia tidak tahu sesuatu apa pun pada malam dan siang kecuali kefasikan dan fujur. Inilah yang diketahuinya dalam kehidupan dan inilah sahaja yang dikira olehnya sebagai matlamat kewujudannya dan hari depannya.

Wahai saudaraku, Ma’rifatullah adalah merupakan jalan untuk mendapat hati yang lembut. Oleh itu, setiap ketika kamu melihat manusia yang memanjangkan pengajaran dan memanjangkan berfikir terhadap kekuasaan Allah SWT – kamu akan mendapati dalam hati itu ada kelembutan. Kamu juga akan melihat hati itu padanya ada kekhusyukan dan ada rasa kehambaan terhadap Allah SWT.

No comments: