Friday, 27 April 2007

HATI YANG LEMBUT (1)


Saudaraku fillah,

Sesungguhnya kelembutan dan khusyuknya hati manusia, rasa terhina di hadapan Penciptanya adalah suatu kenikmatan kurniaan Ar-Rahman.. dan anugerah Ad-Dayyan, yang akan membawa kepada kemaafan dan keampunan Tuhan.

Apabila hati itu telah menjadi lembut kepada Allah SWT, tuannya itu adalah orang yang paling bersegera mengerjakan kebaikan, manusia yang paling mengambil berat dalam urusan ketaatan dan keredzaan Tuhan.

Hati itu tidak dikira lembut di sisi Allah SWT dan merasa terhina di hadapanNya kecuali kamu melihat manusia itu merupakan manusia yang paling berjaga-jaga dalam pelaksanaan ketaatan dalam mencapai keredzaanNya. Kamu akan melihat apabila diperingatkan kepadanya, ia akan segera mengambil peringatan. Apabila diperlihatkan kepadanya maka ia akan melihat dengan pandangan yang benar dan hakiki.

Sesungguhnya apabila kelembutan telah memasuki hati, kamu akan melihat manusia itu adalah manusia yang senantiasa tenang dengan mengingati Allah SWT. Bergetarlah lisannya dengan kalimah kesyukuran dan puji-pujian kepada Allah dan hanya untuk Allah.

Apabila hati telah lembut di sisi Allah SWT, kamu akan mendapati tuan kepada hati itu adalah orang yang paling jauh dari kemaksiatan. Ia juga adalah orang yang paling jauh daripada sebab-sebab yang membawa kepada kemaksiatan.

Hati yang lembut itu ialah hati yang apabila menghadap kebesaran Allah SWT dan kehebatanNya, maka ia merasakan kehambaannya. Apabila datangnya hasutan syaitan, akan bertambah ketakutan hamba itu kepada Tuhan. Apabila datang pula panggilan hawa nafsu dan keseronokan, akan bergetar dan bertambah tunduklah hatinya kerana takutnya ia akan kehebatan TuhanNya.

Hati yang lembut..tuannya adalah orang yang siddiq, membenarkan apa sahaja yang datang kepadanya dari Tuhannya, menerima dengan hati yang terbuka dan dengan penuh redza. Ia menerima apa yang dihidangkan kepadanya dengan Iman. Maka dengan itu, hati yang lembut itu..adalah teman , malah ia adalah senikmat-nikmat teman yang ada.

..albakawy

No comments: