Pada akhir kurun ke-15, kerajaan Islam di Sepanyol tinggal hanya bandar Granada dan beberapa bandar lain serta beberapa pelabuhan. Kawasan-kawasan lain di Sepanyol telah pun ditawan oleh kerajaan Kristian. Apabila dua orang anak raja, iaitu Ferdinand V, putera raja Aragon berkahwin dengan Isabella puteri raja Castille, kedua-dua kerajaan berpakat untuk menamatkan riwayat Islam di Sepanyol.
Tentera bersekutu kedua-dua kerajaan kemudian datang menyerbu Granada yang pada masa itu dalam keadaan lemah akibat berbagai masalah dalaman. Granada pada waktu itu diperintah oleh Abu Abdullah Muhammad Ibni Sultan Abdul Hassan al-Nasrid. Orang Sepanyol lebih mengenalinya dengan nama Boabdil.
Tentera bersekutu ini kemudiannya mengepung Granada. Kepungan ini berlangsung selama 7 bulan. Dalam masa ini tentera Islam cuba membuat perlawanan beberapa kali. Serangan-serangan ini dipimpin oleh seorang pahlawan Islam, Musa bin Abil Ghassa yang tidak menyerah sehinggalah saat-saat akhir. Tetapi Sultan Abu Abdullah Muhammad alias Boabdil menyerah kepada tentera Kristian selepas tentera Kristian memberikan jaminan akan menghormati hak-hak orang Islam beragama, jiwa, harta dan kehormatan. Ini menyebabkan pahlawan-pahlawan Islam, termasuk Musa bin Abil Ghassan jatuh ketangan tentera Kristian. Akan tetapi mereka lebih rela mati secara terhormat daripada hidup sebagai tawanan.
Granada telah menyerah pada bulan Disember 1491 bersamaan bulan Safar 897H. Kemudian tentera Kristian telah memasuki bandar itu pada 2 Januari 1942 bersamaan 2 Rabiul Awwal 897H. Mereka kemudiannya memasang sepanduk-sepanduk lambang Kristian di Alhambra. Maka berakhirlah kemasyhiran dan kekuasaan Islam di bumi Sepanyol. Serentak dengan ini kebudayaan agung Islam Andalusia hancur berkecai. Walau bagaimana pun Lembah Xenil di mana Granada terletak belum lagi menyaksikan nasib yang lebih buruk.
Hanya selepas beberapa tahun kejatuhan kerajaan Islam di Granada, pemerintah Kristian telah melanggar janji mereka mengenai jaminan keselamatan dan kesejahteraan nyawa, harta, kehormatan serta kepercayaan ummat Islam. Masjid-masjid ditutup dan bahkan dirobohkan. Orang-orang Islam dipaksa menukar agama mereka. Jika enggan mereka akan dihukum dengan hukuman yang berat. Kerajaan Krisitan telah mengeluarkan undang-undang yang memestikan orang-orang Islam memeluk agama Kristian. Siapa yang enggan akan dihalau keluar dari Spanyol. Orang-orang Islam yang lemah telah murtad. Ini berlaku pada tahun 1499. Sebahagian orang-orang Islam memberontak tetapi telah dipadamkan dengan kekerasan. Sebahagian besar daripada mereka terpaksa melarikan diri ke Maghribi, Mauritania, Algeria, Tunisia dan tempat-tempat lain yang selamat.
Apabila Charles V ditabalkan sebagai raja baru, saki baki orang Islam cuba menuntut keadilan dengan membawa kes mereka ke mahkamah. Tetapi mahkamah memutuskan undang-undang yang memaksa mereka menjadi Kristian adalah sah dan memerintahkan saki baki orang Islam ini segera masuk Kristian atau keluar dari bumi Sepanyol dengan serta merta. Jika enggan mereka akan dibakar hidup-hidup dalam upacara pembakaran yang diselenggarakan oleh mahkamah. Upacara pembakaran ini telah diciptakan oleh mahkamah kononnya untuk mengelakkan darah tertumpah.
Kemudian Bishop Seville telah mengeluarkan arahan supaya orang-orang Moriscoes (iaitu gelaran yang diberikan kepada orang-orang Islam yang telah dikristiankan), dalam tempoh sehari menukar cara mereka berpakaian, bahasa mereka, kebiasaan dan perangai mereka. Setiap orang Kristian Sepanyol diberikan kuasa untuk memerhatikan tindak tanduk orang-orang Moriscoes. Berikutan dari arahan ini tempat-tempat hukuman khas telah diadakan di merata tempat di Granada untuk menghukum sesiapa yang gagal mematuhi arahan Bishop ini. Ini telah mengakibatkan pembunuhan kejam dan penyiksaan berleluasa di Granada, Cordova, Seville dan Valencia.
Semasa zaman pemerintahan Philip II, orang-orang Moriscoes yang amat tertekan itu bangun memberontak tetapi dengan tindakan yang kejam pemberontakan ini telah dipadamkan pada tahun 1569.
Philip III pula telah mengeluarkan dikri yang kejam, iaitu menghalau seluruh orang-orang Moriscoes yang kebanyakannya tinggal di Murcia dan Valencia, keluar dari Sepanyol pada tahun 1609. Natijahnya ialah mereka semuanya dikeluarkan dari bumi Sepanyol. Orang-orang Moriscoes yang duduk di bahagian selatan lari ke Afrika Utara manaka yang di utara lari ke Perancis dan menetap di Languedoc dan Guyenne.
Demikianlah tamatnya riwayat tamadun Islam di Sepanyol.
Rujukan:Enam M.A., “Decisive Moment in the History of Islam”: 213-238
Stanley Lane-Poole, “The Moores in Spain” : 25,102,184,217
Prof. Mahmud Brelvi
No comments:
Post a Comment