Tuesday, 15 May 2007

HATI YANG LEMBUT (SIRI AKHIR)

Saudaraku Fillah

Separah-parah penyakit ialah penyakit kerasnya hati. Antara sebab utama yang menyebabkan hati itu keras dan mati selepas sebab jahilnya tentang Allah ialah apabila tertarik hatinya kepada dunia. Ia lebih mengagongkan dunia dan banyak masanya dihabiskan untuk dunia.

Ketika seorang hamba mula sibuk dengan mengumpulkan hartanya dan dalam berjual beli serta sibuk dengan fitnah-fitnah dunia (yang tidak ada nilai dan penuh dugaan yang memperdaya dan menyesatkan) maka akan lebih cepatlah hatinya menjadi keras.

Oleh itu, sekiranya seseorang manusia itu hendak mencari habuannya di dunia ini hendaklah ia mengambilnya secara sederhana. Sesungguhnya Deenul Islam bukanlah agama rahib yang mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah SWT. Islam juga tidak memisahkan antara kita dengan harta benda yang baik dan hasanat, tetapi berpada-padalah...

Hamba Allah yang taat akan mengambilnya secara yang patut. Sentiasa redza atas apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Nikmat itu akan menjadi mudah untuk datang kepadanya apabila ia perolehi, ia memuji Allah dengan kalimah syukur. Dengan itu Allah SWT akan mempercepatkan keberkatan padanya dan akan menjauhkan dirinya daripada hati yang mati.

Sungguh bahawa sebesar-besar sebab yang menyebabkan kerasnya hati ialah terpalingnya hati kepada dunia. Kamu akan mendapati orang-orang yang berhati keras selalunya terdiri daripada manusia yang sudah terpedaya dengan dunia. Sanggup menjual agama kerana kepentingan dunia yang sedikit. Kamu akan melihat mereka mengorbankan waktu solat mereka untuk tujuan duniawi. Mereka tidak malu dalam melakukan maksiat dan dosa-dosa besar atas sebab dunia mereka.

Oleh sebab sukanya mereka kepada dunia maka masuklah dunia itu dalam hati mereka. Dunia ini sifatnya bercabang-cabang. Sekiranya seseorang itu sedar hakikat ini maka lisannya akan bergetar dengan mengatakan kepada Tuhannya, “Wahai Tuhanku, selamatkan aku daripada fitnah dunia ini”.

Sesungguhnya dunia itu banyak cabangnya. Apabila terpesong hati daripada satu cabang akan terpanggil pula untuk ia menjadi hamba cabang yang seterusnya. Kemudian terpanggil lagi kepada cabang yang selepasnya. Sehinggalah ia menjadi jauh daripada Allah SWT. Ketika itu akan jatuhlah kedudukannya dari sisi Allah dan Allah tidak akan memperdulikannya lagi, dimana pun jurang yang dia berada didalamnya.

Itulah seorang hamba yang melupakan Tuhannya dan dia menuju kepada dunia dengan merasakan ketinggiannya. Sebenarnya dia telah mengagongkan sesuatu yang tidak berhak untuk diagongkan. Dia meremehkan sesuatu yang sepatutnya diagongkan, iaitu Allah SWT. Akibat dari perbuatannya, balasannya adalah dari seburuk-buruk akibat yang ada.


Selain itu, sebab lain yang menyebabkan hati menjadi keras ialah duduk dan berada bersama-sama orang yang fasik. Bergaul dengan manusia yang sesiapa yang bersahabat dengan mereka tidak ada kebaikan padanya.

Sekiranya dia berkawan dengan sahabat yang soleh maka hatinya akan menjadi lembut dengan izin Allah SWT. Apabila dia di dalam majlis insan-insan yang soleh, akan datanglah kelembutan padanya – samada ia mahu atau tidak. Kelembutan itu akan datang membersihkan kehitaman yang ada dalam hatinya. Ia keluar dari majlis itu sebagai manusia soleh pada dirinya dan muslih kepada orang lain. Ia menjadikan akhirat sebagai matlamatnya.

Oleh itu sekiranya seseorang itu bergaul dengan kawan-kawan yang tidak baik, ia hendaklah berwaspada dan berhati-hati. Pergaulan tersebut hanyalah sekadar keperluan sahaja atau dalam niat memperbaiki mereka. Ini adalah untuk keselamatan deennya. Modal kita dalam kehidupan di dunia hanyalah pada Deenul Islam.

Wahai Tuhan kami, kami berdoa dengan namaMu yang baik (asmaul husna) dan sifatMu yang tinggi – agar Engkau memberikan kepada kami hati yang lembut. Hati yang khusyuk dalam mengingatiMu dan bersyukur atas nikmatMu.

Wahai Tuhan kami, kami memohon daripadaMu hati yang tenang dengan mengingatiMu. Kami memohon lisan yang sentiasa bergetar meluahkan kalimah syukur padaMu.

Wahai Tuhan kami, kami memohon kepadaMu iman yang sempurna, keyakinan yang benar, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat dan amalan soleh yang maqbul disisiMu. Ya Karim!

Wahai Tuhan kami, kami mohon perlindunganMu dari fitnah, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Maha Suci Tuhan dengan keizzahanMu dari apa yang disifatkan oleh orang-orang musyrikin. Salam ke atas para Rasul dan Segala Puji bagi Tuhan Sekalian Alam.

Amin.

1 comment:

scent w x said...

masha alah may allah reword you with jannah